Menteri Besar Incorporated (Perak) terus komited menggembleng tenaga dan usaha bersama Kerajaan Negeri Perak dalam memperkasakan kesejahteraan rakyat melalui Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Siri 4/2026 yang berlangsung di Stadium Indera Mulia, Ipoh.
Hadir sama ialah YB Ahli-Ahli Ex-Officio Kerajaan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak; serta ketua-ketua jabatan negeri dan Persekutuan.
Program yang diilhamkan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani Mohamad sejak tahun 2022 ini merupakan inisiatif berterusan Kerajaan Negeri untuk menyediakan platform tetap kepada rakyat bagi menyuarakan permasalahan serta berinteraksi secara langsung dengan barisan kepimpinan pentadbiran Kerajaan Negeri.
Pelbagai kaunter dan reruai perkhidmatan turut diadakan sepanjang program ini, termasuk jualan barangan keperluan asas pada harga yang berpatutan bagi mendekatkan perkhidmatan, memudahkan urusan rakyat serta memacu kemakmuran dan kesejahteraan negeri.
Inisiatif sebegini diharapkan dapat terus memberikan manfaat yang nyata serta dirasai oleh seluruh lapisan masyarakat dalam kehidupan seharian, selaras dengan aspirasi bersama untuk merealisasikan misi dan visi Perak Sejahtera 2030.